
KUALA LUMPUR 1 Julai - Perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang bakal diadakan pada 9 Julai ini terus mendapat bantahan daripada pelbagai pihak di seluruh negara.
Di KANGAR, seramai 372 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari seluruh negeri mendesak kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap Bersih yang masih berdegil mahu menganjurkan perhimpunan haram pada Sabtu ini.
Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu yang juga Pengerusi Majlis JKKK Perlis turut menyifatkan tindakan Bersih itu bertujuan menjatuhkan pemerintahan kerajaan secara kekerasan.
"Kita juga bimbang ada pihak yang cuba menyebarkan fahaman komunis dalam perhimpunan tersebut terutama daripada pihak pembangkang semata-mata untuk kepentingan peribadi masing-masing," katanya yang mengetuai bantahan itu di sini, malam tadi.
Di ALOR SETAR pula, kira-kira 300 ahli Majlis Belia Negeri Kedah (MBNK) berhimpun secara aman di hadapan Masjid Zahir di sini hari ini bagi membantah perhimpunan haram tersebut.
Presiden MBNK, Ku Iskandar Ku Saad berkata, pihaknya mewakili para belia negeri ini membantah sebarang perhimpunan haram yang dirancang diadakan di negara ini.
"Kami turut membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar bagi menyatakan pendirian kami menolak sebarang cubaan untuk menghuru-harakan negara dan tidak menggalakkan belia di Kedah ke Kuala Lumpur pada 9 Julai ini kerana dikhuatiri terjebak dalam perhimpunan haram Bersih," katanya.
Sementara itu, di KUANTAN, seramai 30 ahli Kelab Pemuda Bersatu Kuantan (KPBK) berhimpun di hadapan pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Jalan Beserah dekat sini bagi membantah perhimpunan tersebut.
Di PULAU PINANG pula, kira-kira 40 ahli Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Bayan Baru pagi ini membuat laporan polis di Balai Polis Bayan Baru.
Laporan yang diketuai oleh Ros Suryati Alang itu dibuat bagi membantah penganjuran perhimpunan jalanan tersebut yang disifatkan sia-sia dan hanya akan membawa keburukan.
Sementara itu di KLUANG, Johor, kira-kira 150 orang daripada 32 NGO berhimpun secara aman di hadapan Masjid Jamek di daerah itu hari ini bagi membantah perhimpunan haram berkenaan.
Mereka berhimpun di Masjid Jamek di sini kira-kira 3.30 petang sebelum berarak ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang untuk membuat laporan pada pukul 3.45 petang.
Sumber Asal->Utusan
0 comments:
Post a Comment
Singgah jew kew?? Komen skit..hehe